Mangsa banjir di PPS Sabah berkurangan, Sarawak meningkat petang ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sabah berkurangan kepada 892 orang daripada 273 keluarga petang ini berbanding 1,476 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS melibatkan tiga daerah termasuk Penampang, Membakut dan Papar.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Membakut seramai 390 orang dan Papar seramai 190 orang menunjukkan trend penurunan.

Manakala jumlah mangsa di Penampang kekal seramai 303 orang petang ini.

Bilangan kampung yang terjejas masih kekal 53 dengan 24 kampung di Penampang, 20 kampung di Papar serta sembilan di Membakut.

Di Sarawak, mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri meningkat kepada 17 orang daripada lima keluarga setakat 4 petang ini.

Peningkatan ini berbanding 13 orang daripada tiga keluarga yang dilaporkan pada pagi tadi.

Berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras sungai di stesen Long Teru dan Marudi masih di tahap bahaya.

Keadaan ini berlaku walaupun tidak hujan di kawasan terbabit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *