KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Masters China 2025 selepas menewaskan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana pada aksi suku akhir.
Pasangan yang berada di kedudukan kedua dunia itu kekal tenang dan berjaya mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 21-18 dalam pertemuan pertama mereka di Shenzhen Arena.
Di separuh akhir esok, bekas juara dunia Aaron-Wooi Yik akan berdepan cabaran pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang sebelum ini menyingkirkan gandingan tuan rumah.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur selepas tewas dalam aksi sengit suku akhir menentang gandingan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee.
Perlawanan yang mengambil masa satu jam 28 minit itu berkesudahan dengan keputusan 21-23, 21-19, 20-22 memihak kepada pasangan Korea Selatan.
Menurut Pearly, perlawanan itu lebih banyak menguji ketahanan mental mereka berbanding kecergasan fizikal.
“Secara fizikal semua orang dah letih, mental je yang buat kami terus bertahan dalam gelanggang,“ katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia.
Beliau menambah mereka melakukan beberapa kesilapan kritikal ketika mendahului pada mata akhir yang menyebabkan kekalahan.
“Akhir sekali, kami buat beberapa kesilapan — terlalu gopoh walaupun kami dah mendahului pada mata akhir, itu yang kami kena bincang dan baiki lagi lepas ni,“ ujarnya. – Bernama