KULAI: Sebanyak 35 lampu solar dengan kos keseluruhan RM122,500 telah dipasang di tujuh lokasi sekitar Parlimen Kulai menerusi Projek Sinar Harapan.
Projek yang siap sepenuhnya pada 11 September lalu itu dilaksanakan hasil permintaan masyarakat tempatan dan pemilihan lokasi dibuat selepas tinjauan bersama Pejabat Ahli Parlimen serta Pegawai Kemajuan Perkampungan.
Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata spesifikasi lampu solar ini ialah 60 watt dengan ketinggian enam meter.
“Lampu ini mampu berfungsi 12 jam dari 7 malam hingga 7 pagi, mempunyai bateri tahan untuk dua hari dan jaminan selama dua tahun,” katanya.
Beliau menambah penduduk tidak perlu bimbang kerana sebarang kerosakan boleh diperiksa segera oleh kontraktor.
Teo berkata lokasi pemasangan melibatkan Taman Rekreasi Taman Impiana Senai dengan empat unit dan Kampung Baru Senai dengan dua unit.
Lokasi lain termasuk Kampung Baru Sengkang (dua), Taman Rekreasi Kampung Baru Ayer Bemban (10), Kampung Baru Sedenak (satu), Dewan Raya PPS Kampung Murni Jaya (10) dan Surau Ayer Bemban (enam).
Pemasangan lampu solar itu menjadi penyelesaian segera kerana proses pemasangan lampu jalan oleh Tenaga Nasional Bhd biasanya mengambil masa lebih panjang.
Teknologi lampu solar LED yang digunakan telah diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan serta diperakui SIRIM. – Bernama