BANGKOK: Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan pembentukan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, menurut satu titah diraja pada Jumaat, lapor Xinhua.
Menurut Warta Diraja rasmi, baginda melantik 36 anggota Kabinet yang dipilih Anutin, termasuk enam timbalan perdana menteri serta beberapa menteri lain, susulan perkenan terhadap pelantikan beliau sebagai perdana menteri baharu awal bulan ini.
Dengan Anutin yang turut memegang jawatan menteri dalam negeri, Parti Bhumjaithai akan mengetuai kerajaan campuran dengan memegang bahagian terbesar iaitu 12 kerusi Kabinet, termasuk tiga jawatan dalam pejabat perdana menteri.
Perkenan diraja ini membuka jalan kepada Kabinet baharu itu untuk mengangkat sumpah taat setia di hadapan baginda serta membentangkan kenyataan dasar di parlimen, sebagai langkah terakhir sebelum para menteri boleh memulakan tugas secara rasmi – BERNAMA-XINHUA