KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Sabah hari ini bagi meninjau situasi bencana dan menyantuni rakyat yang terjejas akibat tanah runtuh serta banjir di beberapa lokasi di daerah Penampang dan Kota Kinabalu.
Beliau memulakan tinjauan di lokasi tanah runtuh di Country Heights Penampang di Pekarangan Tempat Letak Kereta, Blok 20 pada 2.15 petang.
Seterusnya Anwar melawat Pusat Pemindahan Sementara Kolopis di Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis, Penampang pada 3 petang bagi melihat sendiri keadaan mangsa dan memastikan keperluan mereka terjamin.
Lawatan diteruskan ke Pusat Pemindahan Sementara Kampung Sarapung, Penampang pada 3.40 petang di mana Perdana Menteri meluangkan masa bersama mangsa bencana untuk mendengar permasalahan mereka.
Pada 4.30 petang, Perdana Menteri meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.
Satu pusat pemindahan kekal juga beroperasi di Beaufort pada petang semalam.
Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa manakala banjir mengorbankan seorang mangsa setakat ini.
Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan pada Isnin lepas.
Jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat. – Bernama