KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di rumah mereka minggu lepas.
Iznan Syahir Mohammad Tasnim, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M.S Arunjothy.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras pada 3.01 pagi 13 September.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun.
Hukuman tersebut juga termasuk tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal.
Tertuduh tidak diwakili peguam semasa prosiding mahkamah.
Mahkamah menetapkan 11 Disember untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki tersebut menikam bapanya hingga maut.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung isu harta keluarga. – Bernama