SAN JOSE: Intel, pelopor cip yang sedang bergelut, bakal menerima pelaburan berbilion dolar daripada pesaingnya Nvidia, umum gergasi teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Nvidia pada mulanya akan membeli saham Intel bernilai US$5 bilion. Namun, kerjasama teknikal yang dirancang mungkin terbukti lebih penting, kerana kedua-dua syarikat berhasrat untuk bersama-sama membangunkan cip. Intel akan mengeluarkan pemproses untuk sistem x86nya yang disesuaikan dengan teknologi Nvidia untuk pusat data. Sistem cip Nvidia menjadi teknologi utama untuk melatih dan mengendalikan perisian kecerdasan buatan. Ini membawa pertumbuhan yang meledak kepada syarikat itu, yang pernah dikenali terutamanya untuk kad grafiknya dan menjadikannya syarikat paling bernilai di dunia, dengan modal pasaran US$4.3 trilion.
Perkongsian dengan Intel adalah bukti yang dunia komputer berubah secara asas, kata ketua eksekutif Nvidia Jensen Huang.
Intel pernah menjadi kuasa dominan dalam sektor cip tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia terus kehilangan pasaran.
Telefon pintar dan kebanyakan komputer tablet menggunakan teknologi daripada pembangun cip Arm, manakala dalam kecerdasan buatan, Nvidia tiada tandingan.
Intel kini menyasarkan untuk memperkenal semula dirinya sebagai pengeluar kontrak untuk pembuat cip lain. Bagaimanapun, setakat ini, bakal pelanggan ragu-ragu, memaksa Intel untuk mengecilkan projeknya yang bercita-cita tinggi.
Kerajaan AS baru-baru ini memperoleh pegangan kira-kira 10 peratus dalam Intel. Berbilion-bilion subsidi yang dijanjikan tahun lalu secara efektif berfungsi sebagai harga pembelian.
Intel pada asalnya akan menerima dana secara percuma untuk menyokong pembinaan kilang baharu di AS, namun Presiden Donald Trump pula mendesak agar pulangan diberikan kepada pembayar cukai – BERNAMA-dpa