Malaysia perlu terus terlibat dengan kedua-dua AS dan China – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus terlibat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China kerana kedua-duanya merupakan rakan ekonomi terpenting negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata AS adalah pasaran eksport terbesar Malaysia manakala China di tempat kedua, dengan kedua-dua negara itu turut disenaraikan sebagai dua pelabur paling utama di negara ini dalam tempoh lima tahun lepas.

“Dan siapa rakan dagangan terbesar kami? Ia adalah China. Yang kedua terbesar adalah AS. Jadi rakan dagangan kami yang paling utama adalah dua negara ini,“ katanya semasa sesi sembang santai anjuran Deloitte Malaysia, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu secara kolektif membentuk kira-kira 45 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.

“Jadi, anda tidak boleh mengabaikan salah satu darinya, dan anda sudah tentunya tidak boleh mengabaikan kedua-duanya sekali. Penting untuk kita terus menjalin hubungan,“ katanya.

Beliau juga menekankan tentang peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, yang meletakkan negara sebagai pusat diplomasi ekonomi serantau.

“Minggu depan saya akan mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN. Semua menteri ekonomi ASEAN akan berada di sini, serta rakan dialog kami – India, China, Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan AS,“ katanya.

Tengku Zafrul juga mengesahkan Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang dijangka melawat Malaysia pada Oktober ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *