KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memperhebat usaha mentransformasikan bandarnya menjadi ruang yang pintar, mampan dan berpusatkan rakyat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata teknologi AI sedang merevolusikan cara bandar dirancang, dibina dan diurus, dan Malaysia komited untuk memanfaatkan teknologi itu sebagai sebahagian daripada matlamat menjadi Negara AI menjelang 2030.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkerjasama dengan Kementerian Digital untuk mempercepatkan penerapan AI dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui inisiatif Bandar AI.
Inisiatif itu akan membolehkan pengurusan trafik, pengangkutan awam, peruntukan sumber dan keselamatan awam dipacu oleh sistem pintar yang bersifat ramalan.
PBT akan dilengkapi dengan alatan digital serta latihan bagi membolehkan mereka bertindak sebagai agen perubahan dalam transformasi bandar pintar.
Agenda bandar pintar Malaysia juga akan menekankan mengenai perumahan pintar yang mampu milik, mudah diakses dan mampan.
Projek di bawah Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan PR1MA kini sedang dipertingkatkan dengan reka bentuk yang mesra alam, sensor Internet Pelbagai Benda (IoT) serta platform digital.
Platform digital ini akan memudahkan penduduk mengakses perkhidmatan dan menyertai proses tadbir urus dengan lebih mudah.
Sebuah rumah bukan sekadar bumbung untuk berlindung tetapi merupakan harapan dan impian rakyat yang memerlukan keterangkuman, kebolehcapaian, keselesaan dan kemampanan.
Program Penarafan Bandar Pintar yang diperkenalkan kementeriannya pada 2023 juga memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi AI negara.
Seramai 82 PBT telah menyertai program penarafan tersebut dengan lebih banyak lagi dijangka turut serta dalam masa terdekat.
Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan projek perintis pusat kawalan bandar pintar di Perak dan Pulau Pinang selepas lawatan ke Guilin, China.
Projek perintis ini akan memfokuskan kepada infrastruktur pintar, keterhubungan digital, teknologi hijau dan reka bentuk perumahan inovatif yang diinspirasikan daripada model seperti “City Brain” di Hangzhou.
Malaysia akan menjadi tuan rumah edisi Asia Tenggara bagi Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia (SCEWC), sekali gus menyertai rangkaian global yang merangkumi Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Chile, Arab Saudi dan China. – Bernama