PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau beberapa kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di Penampang dan Kota Kinabalu, Sabah, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terkesan bencana itu.
Anwar yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tiba di Country Heights di sini pada 2.55 petang dan menghabiskan kira-kira 30 minit meninjau lokasi kejadian tanah runtuh serta menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.
Kejadian tanah runtuh pada Isnin lepas itu menyebabkan lebih 30 rumah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Perdana Menteri kemudian meneruskan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul Kolopis pada pukul 3.25 petang, disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.
Beliau meluangkan kira-kira 15 minit bertanya khabar dan memberi kata semangat kepada mangsa yang ditempatkan di PPS itu, sebelum bergerak ke PPS Kampung Sarapung, di sini.
Anwar tiba di Kampung Sarapung pada 4 petang dan menghabiskan kira-kira 30 minit menyantuni penduduk selain mendengar taklimat mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan itu.
Pada 12 Sept lepas, seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kampung berkenaan.
Perdana Menteri turut meninjau lokasi tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu pada pukul 4.30 petang sebelum menghabiskan kira-kira 30 minit meneliti kesan kerosakan di kawasan terbabit.
Keprihatinan Anwar jelas terserlah apabila beliau sendiri bertanya mengenai keperluan dan kebajikan mangsa di setiap lokasi yang dilawatinya, selain mendengar keluhan mereka berhubung masalah kesihatan.
“Jangan bimbang, kita akan berusaha sedaya upaya bantu saudara dan saudari semua,” katanya kepada mangsa bencana yang ditemuinya.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat petang ini seramai 2,256 orang daripada 710 keluarga ditempatkan di PPS. Bencana tanah runtuh di negeri itu setakat ini meragut 13 nyawa manakala seorang mangsa maut akibat banjir.
Seorang mangsa, Frankie Dahing, 60, dari Kampung Kolopis melahirkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri yang sanggup turun padang melawat mereka di PPS SMK St. Paul Kolopis.
“Kita sangat bersyukur dengan keprihatinan kerajaan khususnya Perdana Menteri yang datang sendiri menyampaikan bantuan yang dapat meringankan beban kami,” katanya yang berpindah ke PPS itu sejak Selasa lepas.
Bagi Lorina Giliti, 32, dari Kampung Kambazan, kehadiran Anwar memberi semangat buat mereka yang terkesan.
“Kami sangat berterima kasih atas semua bantuan yang diberikan dan lebih menggembirakan apabila Perdana Menteri sendiri datang melihat keadaan kami. Saya bersyukur kerana dapat bersalaman dengan beliau,” katanya yang bekerja sebagai petugas kebersihan.
Seorang lagi mangsa, Amber Isaac, 25, dari Kampung Sarapung berkata beliau terharu apabila Perdana Menteri sanggup menempuh kesukaran masuk ke kampung itu yang terjejas teruk akibat tanah runtuh.
“Kampung kami paling teruk dilanda tanah runtuh kali ini, jalan masuk pun terhalang sejauh tiga kilometer pada awalnya. Tetapi Perdana Menteri sanggup bersusah payah masuk ke kampung ini menziarahi kami. Pemimpin beginilah yang kami sayang,” katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pembinaan – Bernama