PUTATAN: Tiada kes penyakit berjangkit dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sepanjang tempoh mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan bencana banjir dan tanah runtuh di negeri ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan hanya penyakit biasa dilaporkan dan tiada penyakit berjangkit yang dikesan, namun ia dapat ditangani dengan segera oleh petugas kesihatan yang berada di pusat pemindahan terlibat.
“Walaupun belum ada wabak penyakit berjangkit dilaporkan, namun pihak JKNS sentiasa memantau dan melaksanakan segala bentuk pencegahan kepada mangsa yang masih berada di PPS,“ katanya selepas melawat dan memberikan sumbangan kepada mangsa di PPS Taman Sri Keramat.
Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pagi tadi di 28 pusat pemindahan melibatkan enam daerah.
Dzulkefly berkata beliau juga telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa tanah runtuh yang juga seorang daripada kakitangan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata mangsa iaitu Emilly adalah kakitangan kementerian itu manakala bapanya Johnny juga pesara Kementerian Kesihatan yang bersara baru-baru ini.
Menurut Dzulkefly, beliau juga akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi untuk meninjau keadaan fasiliti di klinik serta hospital yang terjejas banjir agar dapat diatasi dengan segera.
Pada Isnin lepas, Emilly berusia 38 tahun bersama anak lelakinya Xarell Myre Aristothle berusia 11 tahun ditemukan maut apabila kediaman mereka dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Mook, Kinarut. – Bernama