SANDAKAN: Projek pembinaan semula sekolah daif Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru dijangka siap sepenuhnya pada April 2029 menerusi kaedah penyiapan sebahagian dalam dua fasa.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan pelaksanaan projek bernilai kira-kira RM43.89 juta itu mengikut jadual dengan kemajuan semasa 1.5 peratus.
Fasa pertama melibatkan reka bentuk dan membina bangunan baharu serta kerja meroboh bangunan sedia ada dengan jangkaan siap 2028.
“Fasa dua melibatkan menaik taraf tiga blok sedia ada bermula September 2028 dan siap pada April 2029,” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek.
Projek itu melibatkan membina semula blok sekolah termasuk bangunan pentadbiran, bangunan akademik dengan kapasiti 18 bilik darjah, prasekolah dan kantin.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan memperuntukkan RM4.54 bilion bagi melaksanakan 200 projek pembinaan semula dan naik taraf sekolah daif di Sabah.
Daripada jumlah itu, 99 projek telah siap, 68 sedang dibina dan 33 pada peringkat prapembinaan.
Ahmad berkata kementerian akan memastikan projek infrastruktur termasuk institusi pendidikan di negeri itu disiapkan segera mengikut kualiti ditetapkan.
Kementerian juga mengekalkan rekod sifar kemalangan di tapak pembinaan bagi projek tersebut.
Infrastruktur pendidikan tersebut penting kepada rakyat dan bagi menyediakan akses pendidikan lebih baik untuk generasi muda. – Bernama