Penumpang bas disaman tidak pakai tali pinggang keledar – JPJ WPKL

KUALA LUMPUR: Empat penumpang bas ekspres disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan di sini hari ini.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata kesemua mereka yang disaman itu terdiri tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan hasil pemeriksaan terhadap dua bas ekspres.

“Alasan yang diberikan penumpang ialah mereka tidak biasa memakai tali pinggang keledar kerana sebelum ini tiada penguatkuasaan ketat. Ada yang sedar tentang kewajipan itu, ada juga yang masih belum membiasakan diri,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Dalam operasi bermula pada 10 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu, sebanyak 203 kenderaan perdagangan diperiksa dan 51 kenderaan dikenakan tindakan.

“Dua kenderaan disita kerana kesalahan serius seperti Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) dan insurans tamat tempoh, manakala 132 notis saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Hamidi berkata walaupun pengusaha bas ekspres sudah mengambil inisiatif menampal notis peringatan dan menyiarkan rakaman audio untuk mengingatkan penumpang, namun tahap pematuhan masih rendah.

Beliau mengingatkan setiap penumpang yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan saman RM300 dan JPJ akan terus menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar demi keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Hamidi berkata sejak operasi bermula pada 1 Sept lepas hingga semalam, JPJ WPKL memeriksa 8,225 kenderaan perdagangan merangkumi 3,389 kenderaan barangan dan 4,836 kenderaan perkhidmatan awam.

“Sepanjang tempoh itu, 575 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 1,672 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Hamidi berkata operasi yang berlangsung hingga 31 Dis itu dilaksanakan secara berfokus dan sistematik dengan pemeriksaan teknikal serta dokumen dijalankan di lokasi strategik sekitar ibu kota – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *