MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan sebuah bot pancung yang membawa 20 pendatang asing tanpa izin di perairan Tanjung Kling.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata maklumat awal mengenai bot mencurigakan itu diperoleh daripada Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.
Maklumat tersebut diterima daripada kapal dagang Viking Emerald melalui Sistem Trafik Perkapalan (VTS) Klang.
Sebuah bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Patkor Optima kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
Bot ronda berkenaan berjaya mengesan sebuah bot pancung biru dalam keadaan hanyut kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling pada pukul 9.25 malam.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa 20 penumpang termasuk seorang tekong dan awak-awak.
Terdapat 13 lelaki termasuk dua kanak-kanak dan lima wanita dipercayai warga Indonesia berusia antara sembilan hingga 45 tahun.
Siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai menuju ke perairan Pulau Besar untuk memindahkan pendatang asing ke bot tempatan.
Bot tersebut mengalami kerosakan enjin sebelum sempat menjalankan aktiviti haramnya.
Sebahagian besar pendatang asing tanpa izin yang ditahan menggunakan khidmat sindiket penyeludupan menerusi iklan media sosial.
Mereka membayar sejumlah wang untuk perjalanan berbahaya itu ke Malaysia.
Maritim memandang serius cubaan pendatang asing masuk melalui perairan negara kerana ia menyalahi undang-undang.
Aktiviti haram ini juga membahayakan nyawa mereka apabila menggunakan bot uzur, sesak dan tidak dilengkapi ciri keselamatan.
Bot pancung bersama kesemua penumpang telah ditunda ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan.
Mereka diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730.
Mereka juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 bagi membantu usaha membanteras jenayah rentas sempadan di laut. – Bernama