Halim Saad mohon kebenaran rayuan Mahkamah Persekutuan saman Renong-UEM

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk mengembalikan semula samannya.

Saman itu ditujukan terhadap kerajaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Peguam Halim, A. Surendra Ananth, mengesahkan bahawa permohonan kebenaran itu telah difailkan di Mahkamah Persekutuan semalam.

Tokoh korporat berusia 72 tahun itu membangkitkan empat persoalan undang-undang untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan dalam notis usulnya.

Salah satu persoalan undang-undang ialah sama ada tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia berhubung pelanggaran kebebasan asasi tertakluk kepada Akta Had Masa 1953 atau Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Halim pada 18 Ogos lepas dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman berkenaan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membatalkan saman itu pada 9 Mei 2024 setelah membenarkan permohonan yang difailkan oleh Dr. Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan.

Dalam penyataan tuntutannya, Halim yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong mendakwa beliau bercadang untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong.

Beliau mendakwa diarahkan oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan rancangan berkenaan kerana kerajaan mahu mengambil alih semua saham UEM.

Halim turut mendakwa diarahkan meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk anak syarikat kedua-dua syarikat itu.

Beliau mendakwa Khazanah Nasional Berhad memperoleh semua saham UEM melalui anak syarikatnya Danasaham Sdn. Bhd. sekali gus mengambil alih kawalan ke atas UEM.

Halim menuntut ganti rugi berhubung pengambilalihan paksa oleh kerajaan antara Julai hingga Oktober 2001 serta satu deklarasi bahawa beliau adalah pemegang saham Renong.

Ketiga-tiga defendan menafikan mengambil alih pemegangan saham terbabit kerana ia dipersetujui Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *