KUALA LUMPUR: Mesej tegas Malaysia mengenai isu Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar mendapat perhatian positif pelbagai pihak termasuk pemerhati politik antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang kemuncak itu merupakan antara yang paling jelas dan tegas dengan saranan yang praktikal.
Beliau memuji langkah berani Perdana Menteri ketika menutup ucapan itu dengan mencadangkan agar hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan dengan Israel dihentikan.
Zulkifli menegaskan Malaysia telah melakukan sedayanya bukan hanya menerusi diplomasi tetapi juga advokasi luar kerangka rasmi seperti Sumud Nusantara Flotilla.
Perdana Menteri turut menzahirkan sokongan terhadap misi Sumud Nusantara Flotilla yang berlayar ke Gaza membawa bantuan kemanusiaan.
Mengulas Resolusi Doha, Zulkifli berkata terdapat banyak kelemahan namun masih ada ruang harapan antaranya merujuk kepada usaha solusi dua negara.
Beliau menyatakan harapan terhadap Persidangan Solusi Dua Negara yang akan dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis pada 22 September 2025.
Perkembangan itu memberikan pengajaran penting tentang keperluan memperkukuh perpaduan dan menjamin kestabilan negara Islam.
Zulkifli menekankan keperluan membina kemandirian negara Islam di samping memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, politik dan teknologi. – Bernama