SPRM perkasa perang rasuah dengan AI dan sistem digital

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bagi mempercepatkan siasatan serta meningkatkan keberkesanan tadbir urus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata jenayah rasuah masa kini bergerak pantas melalui transaksi digital termasuk mata wang kripto, akaun luar pesisir dan sistem kewangan maya.

“AI tampil sebagai senjata strategik baharu dalam medan pertempuran menentang rasuah untuk memperkasakan agensi seperti SPRM agar lebih tangkas, proaktif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata penggunaan AI membolehkan penyiasat menapis ribuan fail kewangan dalam masa beberapa minit dan mengesan transaksi luar kebiasaan.

Platform seperti ‘Sentinel: Criminal Intelligence Analytics’ memendekkan tempoh siasatan daripada bertahun-tahun kepada hanya beberapa bulan.

AI juga berfungsi sebagai sistem amaran awal yang mampu mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan dan menganalisis projek awam berisiko tinggi.

Pelbagai sistem digital turut diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan perkhidmatan dan komunikasi dalaman SPRM.

Sistem tersebut termasuk pengurusan aduan dan maklumat rasuah secara berpusat, pengurusan barang kes secara digital serta pemantauan prestasi pegawai.

SPRM turut memperkenalkan avatar maya pegawai dikenali sebagai SARA (Saya Antirasuah) di platform TikTok bagi menyampaikan mesej antirasuah secara lebih dekat dengan masyarakat.

Gabungan AI dan teknologi blockchain membuka ruang kepada ketelusan mutlak dalam sistem perolehan awam, pembayaran projek infrastruktur serta pengagihan subsidi.

SPRM mengakui wujudnya risiko keselamatan dan kerahsiaan data yang perlu ditangani secara berhati-hati dalam penggunaan teknologi digital.

Bagi mengatasi cabaran ini, SPRM memperkukuh kawalan dengan melaksanakan dasar governans data yang ketat dan mekanisme semakan manusia secara berkala.

SPRM turut mengaplikasikan penggunaan teknologi AI seperti Applied AI Tools dan Open-Source Intelligence (OSINT) bagi tujuan pemprofilan dan pengesanan maklumat digital.

Perisian berteraskan AI mampu mengesan ralat atau data yang hilang secara automatik seperti nombor akaun yang tidak sah atau kesalahan format tarikh.

SPRM menggunakan sistem digital termasuk Complaint Management System (CMS) dan Corruption Reporting Information System (CRIS) bagi pengurusan aduan secara berpusat.

Sistem Pengurusan Eksibit (EMS) digunakan untuk mengurus barang kes secara digital manakala MACC Fingerprint Information System (MACCFIS) mengurus cap jari secara digital untuk pesalah rasuah.

Sistem MACCKPI dan Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) digunakan bagi pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pegawai-pegawai dan kakitangan SPRM.

SPRM turut menggunakan Sistem OACP dan CRM bagi menyelaras maklumat serta komunikasi antara agensi-agensi lain dalam pengurusan risiko rasuah.

Sistem Pelaporan Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional SPRM (eSPJ) menyelaras laporan Jawatankuasa Tatakelola di peringkat kementerian.

Agency Integrity Management System (AIMS) bertindak sebagai sistem pemantauan dan pelaporan fungsi unit integriti di agensi awam.

Sistem PenMas Reporting Information and Database (PRIDE) diperkenal dalam mengurus serta memantau aktiviti atau program pencegahan dan pendidikan.

Penggunaan AI dalam pengurusan media di SPRM mendapat pengiktirafan apabila meraih Anugerah Emas di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *