SPRM perkasa perang rasuah dengan AI dan sistem digital

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bagi mempercepatkan siasatan serta meningkatkan keberkesanan tadbir urus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata jenayah rasuah masa kini bergerak pantas melalui transaksi digital termasuk mata wang kripto, akaun luar pesisir dan sistem kewangan maya.

“AI tampil sebagai senjata strategik baharu dalam medan pertempuran menentang rasuah, bukan untuk menggantikan manusia tetapi memperkasakan agensi seperti SPRM agar lebih tangkas, proaktif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata penggunaan AI membolehkan penyiasat menapis ribuan fail kewangan dalam masa beberapa minit serta mengesan transaksi luar kebiasaan.

Platform seperti ‘Sentinel: Criminal Intelligence Analytics’ memendekkan tempoh siasatan daripada bertahun-tahun kepada hanya beberapa bulan.

AI juga digunakan sebagai sistem amaran awal yang mampu mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan dan menganalisis projek awam berisiko tinggi.

Pelbagai sistem digital turut diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan perkhidmatan dan komunikasi dalaman SPRM.

Antara sistem berkenaan termasuk pengurusan aduan dan maklumat rasuah secara berpusat serta pengurusan barang kes secara digital.

SPRM turut menggunakan sistem untuk memudahkan interaksi dengan agensi lain dalam pengurusan risiko rasuah atau pembangunan pelan antirasuah organisasi.

Sistem pemantauan dan pelaporan unit integriti di agensi awam serta pangkalan data khas untuk aktiviti pencegahan dan pendidikan turut diperkenalkan.

Dalam aspek komunikasi awam, SPRM memperkenalkan avatar maya pegawai yang dikenali sebagai SARA (Saya Antirasuah) di platform TikTok.

Penggunaan AI dalam pengurusan media di SPRM meraih Anugerah Emas di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025.

Gabungan AI dan teknologi blockchain membuka ruang kepada ketelusan mutlak dalam sistem perolehan awam dan pembayaran projek infrastruktur.

Ahmad Khusairi menekankan bahawa AI bukan menggantikan manusia tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah.

SPRM mengakui wujudnya risiko keselamatan dan kerahsiaan data yang perlu ditangani secara berhati-hati dalam penggunaan teknologi digital.

Bagi mengatasi cabaran ini, SPRM memperkukuh kawalan dengan melaksanakan dasar governans data yang ketat dan mekanisme semakan manusia secara berkala.

Teknologi sistem perlindungan siber berlapis juga dilaksanakan untuk memastikan keselamatan data terpelihara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *