Selangor kenal pasti 1,699 hektar tanah untuk pembangunan pelabuhan ketiga

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengenal pasti 1,699.68 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan kawasan tersebut merangkumi 1,011.71 hektar tanah dasar laut di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan 687.96 hektar tanah pesisir pantai milik Yayasan Selangor.

Beliau berkata pihaknya akan memuktamadkan jumlah kawasan berkenaan dalam tempoh sebulan sebelum mengemukakannya kepada Kementerian Pengangkutan untuk proses pemilihan pemaju.

“Kerajaan negeri akan terlibat secara aktif dalam pembangunan ini dan juga dalam proses mengurus kemajuan Pelabuhan Pulau Carey yang kita lihat sebagai salah satu pemangkin baharu kepada pembangunan negeri Selangor,” katanya.

Amirudin menekankan bahawa projek ini akan memberikan hasil berpanjangan kepada negeri serta mengukuhkan kedudukan PKNS dan Yayasan Selangor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Yayasan Selangor.

Amirudin menambah bahawa PKNS akan menjadi wakil kerajaan negeri untuk memegang syer dan hak milik kepada pelabuhan yang akan dibina itu.

“Beza Pelabuhan ketiga ini dengan Pelabuhan Klang kita mempunyai penyertaan dan keterlibatan aktif dalam aspek pembinaan serta operasi pelabuhan,” ujarnya.

Pemeteraian MoU tersebut melibatkan kerjasama antara PKNS dan Yayasan Selangor dalam merancang kawasan pembangunan baharu yang mampan dan berdaya saing.

Inisiatif strategik itu turut merangkumi penilaian model perniagaan usahasama yang sesuai serta merangka terma pembangunan pada fasa seterusnya.

PKNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas manakala Yayasan Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Nazirin Shah Raja Mohamad dalam majlis tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *