Projek pengairan sawah Bukit Rambai di peringkat akhir pelaksanaan

MELAKA: Pelaksanaan Projek Skim Pengairan Sawah Padi Bukit Rambai kini berada di peringkat akhir dengan proses pengambilan tanah dijangka selesai selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelebang Datuk Lim Ban Hong menyatakan projek bernilai kira-kira RM50 juta itu bertujuan menyediakan sistem pengairan lebih sistematik dan bekalan air mencukupi untuk aktiviti pertanian melibatkan keluasan lebih 800 hektar.

Beliau menjelaskan selepas proses pengambilan tanah selesai, kerja-kerja pembinaan laluan tali air akan dilakukan diikuti dengan tawaran tender bagi pemilihan kontraktor.

“Proses lain seperti reka bentuk serta kajian projek telah selesai dan projek berkenaan dijangka siap pada akhir 2027 atau 2028,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi moden menggunakan dron di Bukit Rambai.

Lim menekankan projek itu penting bagi menyalurkan bekalan air ke kawasan pertanian antaranya Kampung Pinang, Gedung Lalang, Bukit Rambai, Batang Tiga, Klebang Besar, Stulang Daeng dan Kampung Pinang.

Menerusi sistem pengairan yang sistematik itu, aktiviti tanaman padi di kawasan terlibat dapat dijalankan lima kali dalam tempoh dua tahun berbanding empat kali dalam tempoh sama sekali gus meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Sementara menunggu projek siap, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang membangunkan infrastruktur pertanian sokongan di kawasan yang tidak mendapat bekalan air untuk aktiviti pertanian.

Projek sokongan yang menelan kos berjumlah RM2 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.

Pesawah padi Ng Swee Kiat berkata pelaburan kira-kira RM40,000 untuk membeli sebuah dron bagi membantu proses tanaman padi di kawasan seluas 40.47 hektar sejak tiga tahun lepas ternyata tidak sia-sia.

Beliau yang telah bercucuk tanam sejak 20 tahun berkata penggunaan teknologi itu untuk membantu proses menabur benih padi, membaja dan meracun bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga malah lebih produktif.

“Jika sebelum ini, tanpa penggunaan dron, kira-kira 30 minit diperlukan bagi dua pekerja untuk menabur benih bagi kawasan sawah seluas 0.4 hektar berbanding lima minit bagi keluasan sama menggunakan dron.”

“Begitu juga proses meracun…pekerja juga mengambil masa antara 30 hingga 45 minit bagi keluasan sama berbanding 3.5 minit selain racun yang disembur lebih sekata dan pekerja tidak terdedah dengan racun yang digunakan,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *