PLUS peruntuk RM37 juta tambah baik kemudahan tandas awam di lebuh raya

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd memperuntukkan kira-kira 37 juta ringgit bagi kerja penambahbaikan tandas awam di 56 lokasi dalam jajaran lebuh raya kendalian syarikat itu sejak 2023.

Peruntukan ini melibatkan pembaikan yang telah dan sedang dilakukan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, restoran jejantas dan plaza tol.

Sebanyak 32 tandas awam telah melalui proses penambahbaikan pada 2023 diikuti 16 tahun lepas dan dijangkakan lapan lagi ditambah baik tahun ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata penambahbaikan tersebut sebahagian daripada usaha menyediakan kemudahan lebih selesa dan meningkatkan tahap perkhidmatan lebih efisien kepada pengguna.

“Ini dilaksanakan di bawah Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan dan Penambahbaikan Fasiliti di lebuh raya kendalian PLUS,“ katanya.

Dalam pelan ini, sebanyak lima R&R dan 11 hentian sebelah sedang dan akan dinaik taraf secara berperingkat sehingga 2028.

Penambahbaikan itu antara lain melibatkan penambahan tandas duduk, kubikel khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU), kubikel keluarga dan kanak-kanak, bilik menukar lampin bayi serta kemudahan tempat mandi.

PLUS akan menaik taraf beberapa lokasi R&R dan hentian sebelah terpilih secara berperingkat antaranya Hentian Sebelah Pedas Linggi (Arah Utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan), Hentian Sebelah Tangkak (Arah Utara) dan R&R Machap (Arah Selatan). – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *