KANGAR: Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 berjaya menjana pulangan ekonomi hampir RM200,000 kepada usahawan tempatan.
Kejayaan ini dicapai hasil kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang lima hari acara berlangsung bermula 12 September lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pesta ini membantu pengusaha makanan, penginapan dan perkhidmatan lain.
“Ia memberi kesan langsung kepada peniaga tempatan, sekali gus membuktikan pesta ini berpotensi dijadikan acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Majlis penutup pesta air itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kuala Perlis.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dalam majlis berkenaan.
Pesta air itu menarik penyertaan peserta dari 11 negara dengan acara utama Perlawanan Perahu Naga.
Pasukan dari Thailand, Brunei, Filipina serta pasukan ekspatriat mewakili Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia menyertai pertandingan.
Acara lain termasuk sukan rakyat, persembahan kebudayaan dan pameran yang mencerminkan identiti Melayu Perlis.
Abu Bakar berkata tarikan utama pesta ialah pelancaran Perahu Diraja “Jarum Emas Putra Jamalullail” sebagai ikon baharu.
Pertandingan perahu panjang dan perahu naga turut menghidupkan suasana tepian laut Kuala Perlis.
Beliau menegaskan acara sebegini memperkukuh hubungan masyarakat setempat dan mengetengahkan Perlis sebagai destinasi pelancong pilihan. – Bernama