Menara KL disinari cahaya biru emas rai 50 tahun KRT

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya lampu berwarna biru dan emas mulai hari ini hingga 19 September sebagai simbolik ulang tahun ke-50 penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata selama lima dekad KRT menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan agama dalam memperkasa semangat kejiranan.

Beliau menambah KRT juga berperanan memelihara aspek keselamatan serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

“KRT menjadi nadi utama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam usaha memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LSH Service Master Sdn Bhd selaku pengendali Menara Kuala Lumpur menyifatkan lampu khas itu bukan sahaja simbol sokongan tetapi juga penghormatan kepada peranan besar KRT.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd Khairil Faizal Othman berkata Menara Kuala Lumpur sentiasa menyokong inisiatif yang membawa mesej perpaduan dan kebersamaan rakyat.

Sehingga kini terdapat 8,586 KRT di seluruh negara merangkumi lapan bidang tumpuan utama.

Bidang tumpuan tersebut termasuk ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, serta kepimpinan.

Turut termasuk dalam bidang tumpuan ialah kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, dan alam sekitar.

Bidang warisan dan budaya serta daya cipta juga menjadi fokus utama KRT di seluruh negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *