Dr Wan Azizah ingatkan generasi muda waspada kesan buruk teknologi AI

PUTRAJAYA: Generasi muda diingatkan berwaspada terhadap kesan buruk teknologi digital dan kecerdasan buatan jika ia tidak digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menekankan antara cabaran baharu yang perlu diberi perhatian ialah teknologi deepfake yang mampu mencetuskan fitnah sekiranya disalahgunakan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkata jadilah pengguna teknologi yang bijak, beretika, dan bertanggungjawab.

Dr Wan Azizah menegaskan AI boleh ditanya mengenai pelbagai perkara termasuk agama namun pengesahan perlu diperoleh daripada sumber berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan akibat fenomena halusinasi AI.

Beliau menasihatkan agar berpegang kepada yang hak dan menjauhi yang batil kerana AI hanyalah alat untuk membantu perkembangan dan kemajuan hidup.

Generasi muda khususnya ahli Pandu Puteri perlu bijak memanfaatkan teknologi digital dan AI dengan penuh tanggungjawab.

Kemajuan internet, media sosial dan AI seharusnya menjadi alat pembelajaran, inovasi serta pembangunan diri namun perlu dikawal supaya tidak mendatangkan mudarat.

Pelajari bagaimana AI boleh membantu dalam pembelajaran, memudahkan tugasan dan membuka minda kepada inovasi tetapi pastikan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi ini.

Generasi muda juga dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga terhadap penipuan siber khususnya melibatkan scammer dan risiko dark web yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Gunakan media sosial secara positif dengan berkongsi gambar dan video aktiviti bersama kapsyen yang membina serta memberi inspirasi kepada rakan-rakan.

Sentiasa ingat untuk menjaga adab dan berwaspada terhadap ancaman keselamatan siber dengan tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan.

Jangan sesekali berkongsi maklumat palsu atau berita yang tidak benar demi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Dr Wan Azizah berkata semangat Pandu Puteri yang mementingkan khidmat kepada masyarakat dan negara amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Beliau menyatakan peserta perkhemahan datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang akan tinggal dan belajar bersama serta bekerjasama sebagai satu pasukan.

Ini mencerminkan potret Malaysia sebenar iaitu sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian tetapi hidup dalam harmoni.

Anak-anak perlu menghargai nilai perpaduan sebagai kekuatan yang tidak dapat dijual beli.

Jade Camp yang berlangsung tiga hari disertai 1,000 Pandu Puteri remaja dan pemimpin dari 18 cawangan seluruh negara.

Program berskala kebangsaan itu membuka peluang penyertaan menyeluruh merentas cabaran geografi serta menghubungkan ahli dengan pelbagai program antarabangsa.

Perkhemahan besar itu menjadi platform penting membentuk kepemimpinan, semangat kesukarelawanan dan keterampilan diri remaja wanita sekolah menengah rendah.

Aktiviti ini berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari bagi melahirkan generasi wanita berdaya tahan dan berakhlak mulia.

Dengan sejarah lebih 109 tahun, PPPM berperanan sebagai wadah pemerkasaan beliawanis yang mampu memimpin di pelbagai peringkat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *