Waris mangsa nahas bas Gerik terima sumbangan RM420,000 daripada UPSI

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terlibat dalam nahas bas di Gerik pada 9 Jun lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dr Norkhalid Salimin menyatakan setiap waris mangsa yang terkorban dan cedera menerima RM10,000 melalui Tabung UPSI Prihatin Gerik.

“Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan untuk mengumpul dana khas membantu mangsa dan waris tragedi ini sebagai simbol solidariti universiti dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebanyak RM1.7 juta telah dihulurkan sebelum ini hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin.

Sumbangan tersebut diserahkan secara rasmi dalam satu majlis di Pasir Puteh, Kelantan yang dihadiri oleh lebih 100 ahli keluarga, pelajar serta waris mangsa.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Bendahari UPSI Mohamad Najib Mohamed dan Ketua Timbalan Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Maskana Ahmad.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad serta Timbalan Dekannya Dr Mohd Amir Mohd Zahari turut hadir memberi sokongan.

Norkhalid menegaskan sumbangan ini melambangkan keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap keluarga pelajar yang terkesan dengan tragedi berkenaan.

“Saya terharu dengan ketabahan ahli keluarga serta pelajar yang terus kuat menghadapi situasi sukar akibat tragedi yang menyayat hati kita semua,” ujarnya.

Beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu.

Dalam kejadian nahas tersebut, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu bas serta pemandu dan penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *