MERSING: Seorang wanita maut manakala tujuh yang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Jemaluang-Mersing berhampiran Jemaluang Dairy Valley petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Rushdan Md Yusuf berkata mangsa Aishah Hasan berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.36 petang sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dengan kekuatan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mersing digegaskan ke lokasi.
Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Toyota Vios yang bertembung dengan kereta Honda BRV.
Terdapat seorang mangsa tersepit dalam Toyota Vios dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
Rushdan berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Mersing dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis manakala operasi tamat sepenuhnya pada 3.24 petang.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kemalangan terbabit. – Bernama