KOTA KINABALU: Bencana tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas telah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak setakat ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda mengesahkan tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam.
Mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun, manakala tiga lagi mangsa melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz memaklumkan dua mangsa wanita berusia 38 tahun dan kanak-kanak lelaki 11 tahun ditemukan maut di Kampung Mook, Papar.
Dua lagi mangsa ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul.
Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian itu.
Pada Jumaat lepas, seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,648 mangsa daripada 417 keluarga setakat 8 malam ini.
Kesemua mangsa adalah penduduk 46 kampung di lima daerah terjejas dengan tujuh pusat pemindahan sementara dibuka di berbagai lokasi.
Bantuan Wang Ihsan RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan, manakala waris mangsa yang terkorban menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.
Kerajaan Sabah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka berikutan bencana yang sedang melanda.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis dan menyelaras usaha pemulihan bagi komuniti terjejas. – Bernama