Polis siasat kenyataan UMANY gesa mansuh program matrikulasi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya yang menggesa program matrikulasi dimansuhkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar mengesahkan lima laporan polis telah diterima berhubung kenyataan Presiden UMANY Tang Yi Ze yang disiarkan sebuah portal berita.

Kenyataan tersebut dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.

Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan orang ramai juga dinasihat supaya berhemah serta bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *