PM lakukan kunjungan hormat kepada TYT Pulau Pinang selepas sidang kemuncak Qatar

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sejurus pulang dari Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar.

Beliau tiba di Seri Mutiara dan disambut oleh Tun Ramli Ngah Talib serta isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah sebelum dibawa melawat galeri mini.

Anwar turut menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi Fadzil menjemput Tun Ramli untuk hadir sebagai tetamu utama ke Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pada malam ini.

“Terima kasih TYT kerana menerima kunjungan hormat kami. Kami antara lain bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri,“ katanya dalam catatan Facebook.

Perdana Menteri dijadual menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang turut dihadiri wakil dari Sarawak dan Sabah.

Sambutan kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *