Malaysia akan tegaskan pendirian Gaza kepada Trump di sidang kemuncak ASEAN

DOHA: Malaysia akan menggunakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini untuk menegaskan pendirian negara dalam isu Gaza dan serangan Israel ke atas Qatar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk membawa suara solidariti Palestin di platform serantau itu bagi menarik perhatian pemimpin kuasa besar dunia.

“Pada pertemuan dengan Presiden Trump, kita akan gunakan kesempatan itu untuk mengajak beliau memahami sikap dan pendirian tegas Malaysia dalam usaha mencapai keadilan, termasuk bagi Gaza dan Palestin,“ katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia ketika Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam.

Anwar menyertai sidang kemuncak luar biasa itu atas undangan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sebagai respons segera terhadap keganasan rejim zionis Israel yang menyerang Doha pada 9 September lepas.

Beliau berkata sokongan Malaysia terhadap sidang kemuncak itu membuktikan kemuafakatan negara Islam dan Arab dalam melontarkan kecaman keras tindakan Israel selain menyatakan solidariti penuh kepada Qatar.

Perdana Menteri mendesak tindakan punitif tegas perlu dikenakan terhadap Israel yang tidak berhenti menzalimi rakyat Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Anwar menegaskan dunia khususnya negara-negara Arab perlu menghentikan segala hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

Beliau berkata gesaan dan kenyataan semata-mata tidak memadai sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan tegas termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan menghentikan urusan perdagangan.

“Dunia perlu menggunakan segala kebijaksanaan diplomatik, khususnya dengan negara-negara yang dekat dengan AS, supaya mengambil keputusan selari dengan undang-undang antarabangsa,“ katanya.

Perdana Menteri menegaskan isu yang dibawa bukan lagi semata-mata mengenai Gaza dan Palestin bahkan turut membabitkan beberapa negara lain yang menjadi sasaran Israel.

“Ini menunjukkan bahawa dalam dunia hari ini, belum pernah ada sejarah sedemikian rakus dan biadab dilakukan,“ kata Anwar merujuk kepada serangan Israel ke atas Qatar, Syria, Iraq, Iran dan Lebanon.

Delegasi Anwar disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *