Hari Malaysia 2025: Chow Kon Yeow tekankan perpaduan dan masa depan negara bangsa

BUTTERWORTH: Hari Malaysia bukan sekadar perayaan tahunan tetapi merupakan kisah perjuangan, pengorbanan dan penyatuan yang meneguhkan janji untuk terus melakar masa depan negara bangsa.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Hari Malaysia juga ialah kisah rakyat daripada pelbagai latar bangsa, budaya, bahasa dan agama yang bersatu membina harapan serta mengejar cita-cita yang sama.

Beliau mengibaratkan hubungan antara negeri-negeri Malaysia seperti dua jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan pulau dan tanah besar dalam satu ikatan kukuh yang tidak mungkin terlerai.

Chow menyifatkan Pulau Pinang berdiri megah dan penuh rasa syukur kerana dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2025.

Beliau mengalu-alukan kedatangan para tetamu dari Sabah, Sarawak dan seluruh Semenanjung ke Pulau Mutiara bagi bersama-sama meraikan detik bersejarah ini.

Chow turut menyebut bahawa Pulau Pinang sedang melangkah ke hadapan dengan beberapa projek mega seperti Pulau Silikon yang bakal menjadikan Malaysia peneraju semikonduktor global.

Projek Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) membuka jalan kepada sistem pengangkutan yang moden, lebih efisien dan mesra alam untuk negeri ini.

Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) pula menjadikan negeri itu sebagai sebuah pusat inovasi, keusahawanan dan kewangan serantau berpaksikan rakyat.

Sambutan Hari Malaysia 2025 ini dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin negeri termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Edisi kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *