DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak tindakan hukuman tegas dikenakan terhadap Israel sambil mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar.
Beliau menegaskan perlunya langkah tegas dan muktamad diambil dengan menyatakan kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu Israel.
“Tindakan punitif yang tegas mesti dilaksanakan dan segala bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel perlu dihentikan,“ katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha.
Anwar menyifatkan pengeboman secara membuta tuli ke atas ibu negara Qatar itu sebagai tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak dapat dipertahankan.
Beliau menegaskan ia merupakan pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar dan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta tindakan provokatif melampau yang mengancam keselamatan rantau ini.
Anwar berkata tahap kebiadaban ini lebih membimbangkan kerana Qatar memainkan peranan penting sebagai perantara damai di rantau berkenaan.
“Untuk menyerang Qatar adalah perbuatan mensabotaj secara terang-terangan segala usaha ke arah keamanan dan serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,“ katanya.
Beliau menegaskan serangan Israel itu adalah tindakan pencerobohan terancang yang menunjukkan tiada negara akan dikecualikan dalam usaha rejim Zionis mencapai agenda mereka.
Anwar turut menzahirkan rasa kesal terhadap penderitaan berterusan di Gaza dengan keluarga yang musnah, hospital dibedil sehingga tinggal runtuhan, dan kanak-kanak tertimbus di bawah serpihan bangunan.
Beliau menyatakan dasar penjajahan dan perampasan tanah diteruskan tanpa henti di Tebing Barat sambil kebiadaban ini turut merebak dengan serangan di Lubnan, Syria, Yemen dan Iraq.
Anwar berkata Israel secara terbuka mengisytiharkan Palestin tidak akan pernah diiktiraf sebagai sebuah negara yang disifatkannya sebagai pengisytiharan dasar aparteid kekal.
Beliau menekankan negara-negara yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat turut memikul tanggungjawab besar dalam menangani krisis ini.
“Ketika Amerika mahu berdialog dengan Iran, Israel membalasnya dengan bom dan ketika Washington menggalakkan usaha perantaraan dengan Hamas, Israel menyerang di Doha,“ katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap sebuah flotila yang sedang belayar menuju Gaza membawa bantuan kemanusiaan dan bukannya senjata.
“Ini adalah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala usaha bagi memastikan ia sampai ke Gaza,“ katanya.
Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan perkembangan terkini melibatkan serangan Israel ke atas negara berkenaan. – Bernama