Anwar desak tindakan tegas henti pencerobohan Israel di Palestin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel.

Beliau menyeru usaha mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin.

Anwar berkata perkara itu dinyatakan semasa pertemuan ringkas dengan beberapa pemimpin di luar Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.

Pemimpin berkenaan ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

“Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel,“ katanya.

Beliau turut memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin dalam pertemuan tersebut.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.

Kehadiran beliau adalah susulan serangan Israel terhadap Doha pada 9 September lepas.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis.

Serangan tersebut mengorbankan enam orang termasuk anak pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya.

Mangsa turut termasuk pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar.

Pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat dalam serangan tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *