ABIM sokong ketegasan PM Anwar kecam serangan Israel ke atas Qatar

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ketegasan beliau membawa suara negara dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata serangan udara Israel ke atas Doha merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Tindakan ini adalah bukti nyata bahawa Israel sedang menggerakkan agenda Israel Raya yang mahu meluaskan pengaruh ketenteraan dan mencabul kedaulatan negara-negara serantau,“ menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata tragedi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing dengan rejim Zionis secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin dan solusi dua negara.

Ahmad Fahmi menegaskan bahawa kecaman melalui kenyataan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menangani krisis tersebut.

Dunia antarabangsa mesti berani mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis.

ABIM turut menggesa agar negara-negara Arab dan dunia Islam menarik balik sebarang bentuk normalisasi yang pernah dilakukan terhadap Israel.

Mengenai misi Global Sumud Flotilla yang turut disertai rakyat Malaysia, Ahmad Fahmi berkata kerajaan wajar membantu sebaik mungkin termasuk menubuhkan pasukan pemantauan dan sokongan krisis di Wisma Putra.

Perdana Menteri dalam ucapannya di sidang kemuncak tersebut mendesak hukuman tegas dikenakan terhadap Israel selain mengecam sekeras-kerasnya serangan udara ke atas Doha.

Anwar berkata langkah tegas dan muktamad perlu diambil kerana kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu Israel. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *