KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi mengakibatkan berlakunya banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan sekitar pusat bandar raya ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh di Kampung Unggun Jaya, Sepanggar pada 6.19 pagi.
Anggota bomba mendapati berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang semasa tiba di lokasi kejadian.
Komander operasi mengarahkan keluarga terlibat berpindah ke kawasan lebih selamat sebelum memotong pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan berlaku kejadian cerun runtuh di Jalan Tun Fuad Stephen melalui hantaran Facebook.
Papan tanda amaran telah dipasang di lokasi cerun runtuh walaupun laluan berkenaan masih boleh dilalui.
Di Papar, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengisytiharkan bencana berikutan banjir yang melanda daerah itu.
Pengerusinya Muhammad Mohd Ali membuka sebuah pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Papar pada 10 pagi. – Bernama