Polis mohon bantuan Interpol jejak suspek kes tembak di Simpang Pulai

IPOH: Polis akan mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek yang dipercayai menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sehingga kini suspek utama belum ditahan manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat juga masih dikesan.

“Motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti kerana suspek-suspek berkenaan belum ditangkap.”

“Usaha kini dipergiat termasuk menggunakan saluran Wisma Putra dan Interpol,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan di bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek.

Suspek disyaki terlibat dalam kes bunuh di kebun kelapa sawit berhampiran sebuah kilang di Simpang Pulai.

Pemeriksaan lanjut terhadap kereta suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Susulan itu, sebanyak sembilan individu termasuk seorang wanita direman seminggu bermula 8 September bagi membantu siasatan.

Mereka dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 atau 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *