KUALA LUMPUR: Malaysia terbina atas kepelbagaian kaum, agama, budaya dan suku yang menjadi kekuatan unik serta aset paling bernilai bagi negara ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan kepelbagaian itu bukan jurang pemisah tetapi jambatan penyatuan yang memperkaya identiti Malaysia sebagai negara majmuk yang harmoni.
Beliau menjelaskan Semenanjung Malaysia mempunyai masyarakat Melayu, Cina dan India yang telah lama bersama membangunkan tanah air.
Sabah mempunyai lebih 30 etnik dan ratusan subetnik seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan Rungus yang mewarnai khazanah budaya negeri.
Sarawak pula memiliki kepelbagaian melalui masyarakat Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu serta pelbagai suku kaum lain yang kaya dengan adat dan tradisi.
Aaron mengibaratkan Malaysia sebagai mangkuk salad penuh dengan pelbagai sayur dan sos berbeza rasa yang menghasilkan kelazatan unik dan seimbang apabila digabungkan.
Pembentukan Malaysia pada 1963 melibatkan tokoh-tokoh besar seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.
Tun Abdul Razak Hussein, Tun Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens dan Tun Abdul Rahman Ya’kub juga menjadi tonggak utama yang memimpin rundingan dan menyatukan suara rakyat.
Pembentukan Malaysia adalah hasil pengorbanan dan keberanian rakyat jelata yang menjadi nadi perjuangan dengan menyumbang tenaga, masa dan jiwa raga.
Temenggung Jugah Anak Barieng dari Sarawak memainkan peranan penting dalam menzahirkan sokongan rakyat terhadap penyertaan negeri itu ke dalam Malaysia.
Sedomon Gunsanad Kina dari Sabah lantang menegaskan kepentingan perlindungan hak dan kedudukan negeri dalam gagasan Malaysia.
Kisah ini bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang menegaskan rakyat sebagai tonggak kekuatan negara.
Tanpa sumbangan rakyat sama ada kecil atau besar, perjuangan kemerdekaan dan pembangunan Malaysia hari ini tidak mungkin menjadi kenyataan.
Aaron mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan cabaran baharu era digital yang boleh menggugat asas perpaduan dengan menyemai kebencian, polarisasi halus dan fitnah.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih bijak dan berhemah dalam menggunakan media sosial dengan tidak menjadi penyambung berita palsu atau penyebar ujaran kebencian. – Bernama