PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali akan memastikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar mengutamakan penghantaran bekalan keperluan kepada penduduk terjejas susulan banjir akibat hujan berterusan pagi ini.
Ahli Parlimen Papar itu juga mahu jawatankuasa berkenaan menempatkan penduduk yang rumah mereka dinaiki air pada paras tidak selamat ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di Dewan Masyarakat Papar.
Beliau berkata memandangkan semakin banyak kampung yang dinaiki air dan beberapa kawasan sudah terputus hubungan jalan raya, JPBD Papar telah mengisytiharkan bencana banjir untuk daerah itu pada 10 pagi.
“Saya bersama Pegawai Daerah (Muhammad Mohd Ali) dan (Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau) Datuk Juil Nuatim serta agensi berkaitan sedang bergerak meninjau serta menyampaikan bantuan ke kampung-kampung yang terputus hubungan jalan raya,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Terdahulu, Muhammad yang juga Pengerusi JPBD Papar mengisytiharkan bencana berikutan banjir yang melanda daerah itu – Bernama