Pekerja kuari tertimbus runtuhan batu di Raub, operasi SAR diteruskan

KUANTAN: Seorang pekerja kuari dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di Kuari IJM, Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub pada kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman mengesahkan mangsa ialah Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman berusia 30 tahun yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Mangsa sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu dari kawasan bukit berhampiran lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera yang dipandunya sebelum dihempap dan tertimbus di bawah runtuhan,“ kata Mohd Shahril dalam kenyataan rasmi.

Radius kawasan yang tertimbus dianggarkan mencecah 300 meter dengan kedalaman sebenar masih belum dapat ditentukan oleh pihak berkuasa.

Tiga lagi pekerja warga asing turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian tersebut dan sedang menerima rawatan di Hospital Raub.

Operasi mencari dan menyelamat pada hari pertama melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pelbagai agensi lain.

Pasukan berdepan kesukaran operasi berikutan masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian yang membahayakan pasukan penyelamat.

“Pasukan Bomba telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang dijangka memulakan operasi mengesan mangsa hari ini,“ tambah Mohd Shahril.

Operasi mencari dan menyelamat pada hari pertama terpaksa ditangguhkan kira-kira jam 7.30 malam semalam disebabkan keadaan lokasi yang gelap dan berisiko.

Operasi SAR telah disambung semula pada jam 8 pagi hari ini dengan harapan dapat menemui mangsa secepat mungkin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *