GEORGE TOWN: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Pulau Pinang bersempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena, Butterworth pada 16 September.
Beliau memulakan lawatan dengan menghadiri program Hari Bersama Komuniti dan merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di Bukit Mertajam.
Fahmi kemudian meneruskan program dengan melakukan Ziarah Kasih Komuniti MADANI dan meninjau pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di Kubang Semang.
Beliau juga melawat Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth bagi meninjau Projek Rumah Kerajaan Angkatan Tentera (RKAT).
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Fahmi akan mengakhiri hari pertama dengan menonton raptai penuh sambutan Hari Malaysia di PICCA.
Jadual padat menanti beliau pada hari kedua termasuk tinjauan menara telekomunikasi rangkaian 5G di kawasan Jambatan Pulau Pinang.
Beliau juga akan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Air Itam dan meninjau fasiliti jalur lebar tanpa wayar (WiFi) di Politeknik Seberang Perai.
Fahmi turut dijadualkan menghadiri tayangan wayang pacak di Kepala Batas pada hari kedua lawatan.
Pada 16 September, beliau akan terlibat dalam temu bual siaran langsung dengan Mutiara FM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama.
Temu bual siaran langsung dengan Bernama akan berlangsung dari kenderaan rekreasi agensi berita tersebut yang dilengkapi studio mini di kawasan PICCA.
Fahmi juga dijadualkan menghadiri Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia MADANI 2025 di Paddy Pavillion, Permatang Pauh.
Acara kemuncak lawatan ialah sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di PICCA.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan tersebut pada pukul 8.30 malam.
Sambutan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun. – Bernama