SPRM bongkar kes suami isteri pegawai rasuah buka kedai emas

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sepasang suami isteri yang juga pegawai penguat kuasa membuka sebuah kedai emas disyaki hasil rasuah.

Pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing yang tidak memiliki dokumen lengkap ke negara ini tanpa mematuhi undang-undang sejak empat tahun lepas.

Menerusi laman Tiktok rasmi SPRM, agensi itu mendedahkan hasil siasatan mendapati pasangan terbabit menggunakan nama anak mereka dan adik wanita berkenaan sebagai proksi bagi membuka kedai emas dengan modal kira-kira 600,000 ringgit.

Pasangan terbabit yang ditahan menerusi Op Dygo itu direman selama lima hari sehingga esok setelah Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka membenarkan permohonan reman SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata suspek berkenaan terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja mereka yang tidak memiliki permit kerja.

Beliau berkata menerusi program itu, majikan perlu menghantar fail-fail pekerja warga asing mereka untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.

Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail-fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan semua dokumen sudah lengkap sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar 700 ringgit bagi setiap seorang warga asing.

Ahmad Khusairi berkata bayaran rasuah itu diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail dan suspek menerima 150 ringgit bagi setiap warga asing.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira 900,000 ringgit yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah.

Dalam pada itu, beliau berkata semasa serbuan, kedai barangan kemas di Pahang itu mempunyai simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai harga semasa kira-kira 1.4 juta ringgit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *