Singapura perkukuh kerjasama global tangani ekstremisme belia

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan komitmen Singapura untuk memperdalam kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman ideologi ekstremisme yang semakin meningkat dalam kalangan belia negara itu.

Beliau menegaskan bahawa keganasan tidak mengenal sempadan dan memerlukan usaha kolektif dengan pertukaran maklumat risikan, kepakaran, dan sumber antara negara.

“Kita mesti bekerjasama untuk menggagalkan rancangan pengganas,“ katanya pada majlis makan tengah hari penghargaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri untuk sukarelawan komuniti.

Sejak 2015, seramai 18 belia berusia antara 14 hingga 20 tahun telah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan lebih dua pertiga kes berlaku dalam tempoh lima tahun lepas.

Singapura akan memperkukuh keupayaan pemulihan dengan melangkaui kaunseling agama Islam semata-mata memandangkan rakyat kini terpengaruh pelbagai ideologi ekstremis lain.

Negara itu sudah mula melaksanakan pelbagai intervensi khusus termasuk bimbingan mentor, kesejahteraan siber, dan program peningkatan kemahiran sosial untuk belia yang menjadi radikal secara kendiri.

Usaha ini menunjukkan hasil positif termasuk kes seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan pada Disember 2020 selepas terpengaruh propaganda ekstremis sayap kanan.

Remaja itu dibebaskan pada Januari tahun lepas dan kini menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi selepas menerima kaunseling daripada pastor Kristian serta bimbingan dua mentor.

Daripada 150 rakyat Singapura yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak 2002, sekitar 85% menunjukkan kemajuan dengan ramai berjaya kembali ke masyarakat melalui bantuan sukarelawan komuniti.

Wong menyeru rakyat melaporkan ahli keluarga atau rakan yang mungkin terpengaruh ideologi ekstremis supaya bantuan awal dapat diberikan.

“Saya juga mempunyai rakan yang terpesong dan tidak pernah menjangka mereka akan beralih kepada ekstremisme,“ katanya sambil menekankan pentingnya tindakan awal.

Beliau turut menyeru pembinaan hubungan kukuh dan padu memandangkan isu radikalisme kendiri sering dihadapi individu yang berasa terasing.

Singapura perlu berwaspada terhadap perpecahan baharu seperti ketidaksamaan sosial dan ekonomi yang boleh melemahkan kepercayaan dan menghakis perpaduan negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *