KUCHING: Tahap pengetahuan golongan kanak-kanak dan remaja di Malaysia mengenai kesihatan reproduktif masih berada pada tahap rendah meskipun pendedahan maklumat semakin mudah diperoleh melalui media sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha berterusan dengan kerjasama kerajaan dan semua pihak termasuk ahli keluarga diperlukan bagi memastikan isu itu dapat ditangani secara berkesan.
“Masyarakat juga perlu lebih terbuka dalam isu ini,“ katanya kepada pemberita pada Program Advokasi PEKERTI peringkat Sarawak di Sekolah Kebangsaan Gersik.
Beliau menegaskan program pendidikan kesihatan reproduktif bukan memberi peluang kepada remaja untuk mencuba aktiviti seks sebaliknya mencari bahan dan pendekatan terbaik untuk dikongsi.
Berdasarkan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 oleh Institut Kesihatan Awam, tahap pengetahuan reproduktif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja masih rendah.
Kajian itu mendedahkan prevalens tingkah laku seksual dalam kalangan remaja meningkat kepada 7.6% pada 2022 berbanding 7.3% pada 2017.
Lebih membimbangkan, kajian itu turut mendedahkan umur kali pertama melakukan hubungan seksual adalah seawal 13 tahun.
Susulan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara telah melaksanakan pelbagai program advokasi secara berstruktur termasuk Modul Cakna Diri Lelaki.
Modul tersebut mendidik anak lelaki supaya lebih bertanggungjawab dalam tingkah laku seksual.
Nancy berkata selain pendidikan reproduktif, kementerian turut memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui Program Advokasi KASIH KPWKM.
Program di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat itu diperluas ke 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara.
Bagi tahun ini, program berkenaan disasar dilaksanakan pada sekurang-kurangnya 300 sekolah dengan tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian.
Pada program sama, turut dianjurkan Sentuhan KASIH: Khatan Perdana yang melibatkan 100 pelajar sekolah rendah dari empat sekolah di sekitar kawasan berkenaan. – Bernama