Miss Universe Malaysia 2025 milik Chloe Lim

KUALA LUMPUR: Perunding pengurusan Chloe Lim, 27, dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025 secara sebulat suara oleh juri dalam acara kemuncak pertandingan itu yang berlangsung di sini malam tadi.

Menewaskan 15 peserta lain, kemenangan itu melayakkan Lim, atau nama sebenarnya Chloe Lim Sue Lyn, mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2025 di Pak Kret, Nonthaburi, Thailand pada November depan.

Tempat kedua dimenangi oleh penasihat perniagaan Priyaa Simmi, 30, manakala tempat ketiga milik model, Jen Li, 28.

Pada sidang media selepas Miss Universe Malaysia Gala Finals 2025 itu, Lim yang mengakui saingan edisi kali ini amat sengit meluahkan kesyukuran atas kemenangannya.

“Tidak ada apapun yang pasti dalam hidup ini, namun kita lakukan yang terbaik agar tidak menyesal dan itulah yang akan saya lakukan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Beliau yang sedar akan tanggungjawab besar menunggunya di Thailand selepas Miss Universe Malaysia 2024 Sandra Lim mencipta sejarah di Mexico tahun lepas, berikrar memberikan persembahan terbaik.

“Sandra meninggalkan legasi yang membanggakan Malaysia. Justeru, saya berjanji akan memberikan yang terbaik, tidak kira sesukar manapun keadaan. Saya akan buat yang terbaik demi mengangkat nama Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu Sandra melakar sejarah negara apabila menjadi wakil Malaysia yang pertama dalam tempoh 54 tahun melayakkan diri ke Terbaik 30 daripada 125 peserta dalam pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico City, Mexico – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *