BACHOK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh usaha meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan dengan menyerahkan dua unit rumah baharu di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Perupok.
Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat berkata penerima Mohamed Awang, 65, dan Mohd Zahari Mat, 37, merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok yang layak menerima bantuan berkenaan.
“Projek PKPN antara inisiatif utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui LKIM bagi memastikan kesejahteraan nelayan terus terbela.”
“Dengan adanya rumah lebih selesa dan selamat, keluarga nelayan dapat menikmati kualiti hidup lebih baik sekali gus memperkukuh komuniti nelayan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan Sobri Ibrahim.
Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2012, PKPN memberi manfaat kepada nelayan berpendapatan rendah melalui baik pulih rumah, pembinaan rumah baharu serta penempatan semula nelayan dengan kemudahan asas.
Pada tahun ini, kadar bantuan ditetapkan sehingga 20,000 ringgit bagi baik pulih rumah nelayan manakala pembinaan rumah baharu mencecah 84,000 ringgit seunit di Semenanjung serta 90,000 ringgit seunit di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Sejak 2012 hingga Ogos lepas, sebanyak 20,603 rumah nelayan di seluruh negara dibaik pulih membabitkan peruntukan 220.4 juta ringgit manakala 306 unit rumah baharu siap dibina dengan kos 20.9 juta ringgit, menjadikan keseluruhan kos lebih 241 juta ringgit.”
“Di Kelantan sahaja, sebanyak 1,004 rumah nelayan telah diluluskan untuk baik pulih dengan kos 9.6 juta ringgit, manakala 16 unit rumah baharu diluluskan.”
“Daripada jumlah itu, 12 telah siap dibina manakala empat lagi dijadualkan dibina pada Fasa 2 tahun ini dengan kos keseluruhan 1.2 juta ringgit,” katanya.
Hamdan berkata LKIM turut memohon peruntukan 70 juta ringgit di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk 10 juta ringgit bagi Rolling Plan Pertama (RP1) untuk melaksanakan 2,321 projek baik pulih serta 274 projek pembinaan rumah baharu nelayan menerusi PKPN dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas mengenai kriteria penerima, beliau berkata individu mesti nelayan yang turun ke laut menangkap ikan, memiliki tanah sendiri atau mendapat kebenaran untuk membina rumah di tanah tersebut serta menjadi ahli persatuan nelayan kawasan. – Bernama