KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti keperluan melaksanakan dasar berkaitan sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan data negara terjamin.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting memandangkan Amerika Syarikat melaksanakan Clarifying Lawful Overseas Use of Data Act (Cloud Act) yang membolehkan pihak berkuasa negara itu mengakses data disimpan oleh syarikat teknologi Amerika walaupun data itu berada di luar negara.
Beliau menyatakan beberapa negara lain turut menimbang dasar serupa bagi melindungi kepentingan nasional mereka.
“Dalam hal ini, kita perlu mula meneliti aspek-aspek keselamatan yang perlu diterapkan dalam penggunaan pengkomputeran awan bagi memastikan data terutama yang sangat sensitif dan terperingkat, sentiasa selamat.”
Fahmi menegaskan bahawa dasar sovereign cloud berkait rapat dengan isu kedaulatan negara memandangkan majoriti platform teknologi dan media sosial kini dimiliki syarikat teknologi gergasi (Big Tech) yang mengawal data pengguna.
“Contohnya, semua maklumat yang dimasukkan di Facebook dimiliki oleh Facebook, begitu juga dengan TikTok.”
Beliau menekankan kerajaan perlu memastikan sebarang perancangan dasar yang dibuat bukan hanya untuk memenuhi keperluan semasa tetapi turut memberikan manfaat untuk kepentingan masa depan negara.
Sovereign cloud merujuk kepada konsep sesebuah negara atau komuniti mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap data mereka termasuk lokasi penyimpanan, kaedah capaian dan pihak yang boleh mengawalnya.
Dasar ini sering dilihat sebagai pelengkap kepada usaha melindungi privasi rakyat serta keselamatan maklumat strategik kerajaan.
Fahmi juga memaklumkan Kempen Internet Selamat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjelajah ke 2,611 sekolah di seluruh negara setakat semalam.
Usaha ini penting untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan Generasi Z tetapi juga Generasi Alpha iaitu anak-anak di peringkat bangku sekolah.
Beliau menekankan dunia digital menawarkan banyak kelebihan namun turut disertai risiko yang perlu ditangani melalui penggunaan secara selamat. – Bernama