JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan pimpinannya telah berjaya menghentikan budaya pemimpin menggunakan kuasa untuk merompak harta rakyat.
Beliau berkata perubahan itu berjaya mengukuhkan asas tadbir urus negara dengan ketara.
Perdana Menteri menegaskan pentadbiran kerajaan kini lebih berintegriti meskipun berhadapan pelbagai kecaman dan persepsi negatif.
“Kalau orang tanya saya, selama hampir tiga tahun ini, budaya orang pegang kuasa untuk curi harta rakyat, kita dah hentikan.”
“Ya, memang ada kes lama, tetapi yang penting (kini) semua ikut proses,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor.
Anwar menekankan tiada sesiapa mempunyai hak untuk mengaut kekayaan rakyat secara salah termasuk individu berpengaruh dan keluarga mereka. – Bernama