KANGAR: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan ayam.
Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Dato’ Ali Jalan Kangar-Alor Setar pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mangsa Nurhanim Rabia’an, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Alor Setar menghala ke Kangar mengalami masalah brek.
Lori tersebut melalui Jalan Alor Setar-Kangar sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga FL.
Kereta Proton Saga FL dipandu guru berkenaan dari arah Jalan Dato’ Ali menghala ke Kangar Jaya.
Pemandu lori cedera pada bahagian lutut kiri serta luka siku kiri dan kanan.
Beliau dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar bagi mendapatkan rawatan.
Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat guru KAFA itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk proses seterusnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama