JERTIH: Seramai 135,000 penagih dadah telah direkodkan di negara ini sehingga 30 Jun lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan jumlah itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Beliau menegaskan kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa mengambil langkah serta strategi untuk mengurangkan jumlah penagihan dadah secara signifikan.
“Angka 135,000 penagih ini sesuatu yang membimbangkan. Bagi saya, 10 orang pun sudah membimbangkan kerana ia melibatkan kehilangan tenaga manusia,“ katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan di Kampung Keluang.
Saifuddin Nasution menjelaskan strategi kerajaan ialah mengurangkan angka ini melalui program pencegahan, pemulihan, dan penguatkuasaan.
Menurut rekod daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, AADK dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, Kelantan merekodkan jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi.
Negeri Terengganu, Perlis dan Kedah turut mencatatkan bilangan penagih yang tinggi.
Beliau berkata lokasi yang bersempadan dengan negara jiran Thailand dikenal pasti sebagai faktor utama keempat-empat negeri berkenaan mempunyai bilangan penagih dadah paling banyak.
“Di negeri-negeri yang saya sebutkan tadi, lebih kurang 60% pengambilan dadah melibatkan pil kuda dan syabu,“ tambahnya.
Dari sudut profil penagih, mereka terjebak dalam lingkungan umur 15 hingga 35 tahun iaitu umur yang produktif.
Kebanyakan penagih berkelulusan SPM dan ke bawah serta sebahagian besar tidak bekerja.
Kerajaan melalui KDN akan terus memastikan AADK menjalankan tugas hakiki menangani masalah dadah dengan peruntukan kira-kira 400 juta ringgit setahun.
Peruntukan tersebut antara lain termasuk mengurus serta menyelenggara kira-kira 30 pusat pemulihan di seluruh negara.
AADK juga bertanggungjawab mengurus hampir 53,000 klien termasuk yang berada dalam pusat pemulihan, komuniti dan institusi lain.
Terdapat juga antara 11,000 hingga 12,000 klien berada di bawah KKM, dan kira-kira 2,000 klien di bawah Puspen swasta. – Bernama