KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar senior mendakwa bangun awal untuk mencuci pakaian sebelum menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata pelajar senior itu merupakan individu pertama yang menemui pelajar Tingkatan Satu tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lepas.
Ibu kepada empat anak itu memberikan keterangan tersebut ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang remaja didakwa membuli si mati, pada hari ketujuh inkues kematian remaja berkenaan.
Linah menyatakan pelajar senior itu mendakwa bangun sekitar pukul 3 pagi kerana mahu mencuci pakaian dan mendengar bunyi seperti sesuatu terjatuh.
“Kira-kira pukul 3 pagi…dia cakap dengar macam benda jatuh, dia mahu cuci kain…dia bangun awal sebab panjang giliran, dia mahu cuci kain tapi dia dengar macam ada benda jatuh, dia tengok, terus dia panggil saya,“ katanya.
Sementara itu, ketika disoal peguam Nurul Rafiqah Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Qairina, Linah berkata kebiasaannya pelajar asrama mencuci pakaian sekitar pukul 10 malam selepas sesi kelas malam.
Linah menyatakan bahawa tidak biasa pelajar berjalan di pekarangan asrama sekitar pukul 2 pagi kerana pada waktu itu mereka sudah tidur.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak pernah melihat pelajar mencuci pakaian pada pukul 2 pagi sepanjang pengalamannya.
Linah turut mengesahkan bahawa beliau tidak pernah melihat pelajar senior tersebut mencuci pakaian sekitar pukul 2 pagi sebelum insiden itu berlaku.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung pada Rabu depan.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth setelah dimasukkan sehari sebelumnya.
Pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi.
Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis.
AGC juga mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina pada 8 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama